Jumaat, 31 Julai 2009

TANGGUNGJAWAB SETIAP PEMIMPIN UMAT ISLAM DI SETIAP GOLONGAN

DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI

Apabila kita mengatakan pemimpin umat Islam, terbayang oleh kita bahawa mereka terbahagi menjadi berbagai peringkat dan pemimpin di berbagai jurusan dan bidang. Di kalangan mereka ada yang menjadi pemimpin empayar, pemimpin negara, pemimpin daerah, pemimpin kampung, pemimpin tentera, pemimpin politik, pemimpin dakwah, pemimpin budaya dan kesenian, pemimpin pendidikan, pemimpin ekonomi, pemimpin pemuda, pemimpin rumahtangga dan lain-lain.

Ertinya pemimpin di kalangan umat Islam itu, ada pemimpin besar dan ada pemimpin kecil, ada pemimpin khusus dan pemimpin umum. Ada pemimpin terbatas, di mana selain dia memimpin, dia juga dipimpin. Yang dikategorikan dalam pemimpin umum adalah pemimpin empayar, pemimpin negara, sedangkan pemimpin khusus seperti pemimpin pendidikan, pemimpin tentera , pemimpin rumahtangga dan lain-lain.

Di bawah kepimpinan dan tanggungjawab pemimpin umum ada bermacam-macam golongan, peringkat dan profesyen. Sedangkan di bawah tanggungjawab dan kepimpinan pemimpin khusus hanya satu golongan sahaja kerana golongan itu hanya memperjuangkan satu bidang sahaja. Mungkin ruang lingkupnya seperti ketenteraan. Sudah tentu melibatkan seluruh negara atau empayar tetapi terbatas dalam bidang ketenteraan sahaja.

Sedangkan bagi pemimpin umum, walaupun di bawah kepimpinannya pelbagai lapisan masyarakat, pelbagai profesyen, pelbagai bidang dan aspek yang hendak difikirkan.

Setelah kita mengetahui bahawa pemimpin dan kepimpinan di dalam Islam itu ada pelbagai peringkat, ada yang besar, ada yang kecil, ada yang umum dan ada yang khusus, di sini kita akan membahas apa tanggungjawab setiap pemimpin itu.

Di dalam tulisan ini, tidak akan dibahaskan tanggungjwab pemimpin Islam secara luas dan menyeluruh, kerana akan menjadi terlalu panjang. Di sini hanya akan dibahas, di peringkat mana pun pemimpin itu memimpin, ada 2 perkara yang wajib dipertanggungjawabkan oleh pemimpin Islam kepada rakyat atau pengikutnya iaitu tanggungjawab terhadap agama dan akhlak rakyat atau pengikutnya.

Setiap pemimpin di Akhirat kelak akan ditanya oleh Allah SWT tentang setiap orang di bawah pimpinannya. Di dalam ajaran Islam, masalah agama terutama di bidang fardhu ain harus diketahui, dihayati dan diamalkan oleh setiap mukallaf. Oleh itu siapa sahaja yang menjadi pemimpin, dia juga bertanggungjawab memastikan tentang agama dan akhlak utuk kelamatan bersama dunia dan Akhirat.

Tidak seperti di bidang fardhu kifayah, seperti ketenteraan, ekonomi dan pertanian, di mana jika sudah ada satu golongan yang berkecimpung di bidang itu dan mencukupi untuk keperluan agama, maka sudah memadai. Orang lain yang tidak mengambil bahagian di bidang itu terlepas dari dosa. Sedangkan mengetahui halal dan haram serta akhlak yang mulia, iaitu memiliki sifat mahmudah, seperti adil, jujur, tawadhuk, pemurah, kasih sayang, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, lapang dada, pemaaf, meminta maaf dan amanah, diwajibkan bagi setiap orang, baik pemimpin, mahu pun bukan pemimpin.

Setiap pemimpin tidak boleh hanya bertanggungjawab pada nidangnya sahaja, seperti pemimpin tentera maka tanggungjawabnya hanya pada ketenteraan saja, sedangkan soal agama dan akhlak adalah tanggungjawab ulama, ustaz, pendakwah atau pemimpin dakwah. Allah dan Rasul tidak mengkehendaki demikian.

Di akhir zaman ini, disitulah kelemahan umat Islam, di mana pemimpin itu hanya bertanggungjawab di bidangnya sahaja. Terhadap agama dan akhlak banyak di klaangn mereka memandang ringan. Itulah rahsianya mengapa setiap golongan susah disatukan antara satu sama lain. Hati berjauhan walaupun tidak bertengkar, kerana tali pengikat di kalangan umat Islam, yakni agama dan akhlak mereka sudah diputuskan. Kalau pun ada, sudah hampir putus.

Padahal yang dikehendaki Islam, setiap orang, apa pun pekerjaannya, terhadap agama dan akhlak mesti sama kerana itu adalah keperluan bersama. Kalau setiap pemimpin memerhatikan
didikan agama dan akhlak terhadap tanggungan mereka dan mendidik mereka ke arah itu, maka akan lahirlah pekerja, rakyat, pengikut golongan yang taat kepada Allah, berdisiplin dan berakhlak mulia.

Dengan cara itu akan dapat dilihat bahawa semua golongan umat Islam dari segi peribadi dan individunya sama, selaras bersatu. Dapat melahirkan syiar dan akhlak mulia yang sama, walaupun mereka pakar di dalam bidang dan profesyen yang berbeza.

Apakah ada umat islam yang berfikir bahawa ketaatan beragama, berdisiplin dan mempunyai akhlak mulia itu hanya diperlukan oleh guru-guru agama, para ustaz, alim ulama sedangkan yang lain tidak perlu? Apakah sifat jujur, pemurah, kasih sayang, amanah dan lain-lain sifat mahmudah hanya untuk ahli agama. Golongan lain tidak perlu?

Apakah ada di kalangan umat Islam berfikir jika taat kepada agama dan berakhlak mulia akan merugikan umat Islam dan manusia seluruhnya? Apakah dengan beragama dan berakhlak mulia akan membawa kemunduran dan kegagalan?

Sebenarnya kepatuhan pada agama itulah menjadikan umat Islam berdisiplin. Akan memperindah dan memperbaiki bidang dan profesyen setiap golongan. Di situlah kemuliaan dan kehormatan umat Islam. kalau ada sifat ini, bukan sahaja Allah dan Rasul suka, tetapi akan dihormati oleh seluruh umat manusia termasuk yang bukan Islam kerana akhlak mulia itu bersifat global. Semua manusa boleh menerima, suka dan senang.

Umat Islam di zaman salafussoleh memepunyai kepakaran dan kepandaian yang erlainan di dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Ada pakar tafsir, pakar hadis, pakar fiqh, pakar sejarah, pakar akidah, pakar falsafah, pakar perubatan, pakar sains, pakar ekonomi, pakar perang tetapi dari segi agama iaitu ketaatan kepada Allah dan Rasul, disiplin hidup serta akhlak mulia mereka sama-sama terlihat nyata, sama-sama hebat dan sama-sama kuat. Syiar Islam sangat menonjol dan dapat dilihat di dalam semua keperluan.

Sedangkan mereka di bidang fardhu kifayah mereka mempunyai kepakaran yang tersendiri, mempunyai bidang yang berlainan. Mengapa terjadi demikian? Kerana didikan agama dan akhlak kepada semua golongan itu adalah sama. Sama-sama dititikberatkan. Faktor penting di dalam kejayaan mereka ini adalah wujudnya faktor pemimpin yang berjaya memimpin mereka berteraskan cintakan Tuhan dan Akhirat. Dan dengan itu, mereka menjadi mulia dan menjadi masyarakat yang agung sepanjang kehidupan manusia.

Khamis, 30 Julai 2009

300 TAHUN YANG ISTIMEWA


DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI




Tiga ratus tahun ini dalah kurun-kurun yang istimewa. Bermula dari kerasulan Rasulullah SAW dan sekitar 300 tahun dari baginda, muncul umat yang diisyaratkan oleh Hadis sebagai umat terbaik dalam sejarah peradaban manusia. Sabda baginda:


" Sebaik-baik manusia ialah yang dikurunku, dan mereka yang mengiringi (kurunku), dan mereka yang mengiringi (kurun itu)." Hadis riwayat Ahmad, Al Bukhari, Muslim dan At Tarmizi.


Walaupun selepas zaman khulafa'ur Rasyidin, sesetengah khalifah yang naik silih ganti telah agak rosak keperibadiannya, namun umat Islam dalam kurun-kurun istimewa ini majoritinya soleh dan bertaqwa.


Menjelang ke penghujung era 300 tahun ini, ketaqwaan umat mula menurun. Petandanya ialah tamadun rohaniah yang dibangunkan oleh Rasul SAW dan disambung oleh Khulafa'ur Rasyidin semakin menurun. Budaya ilmu kian pesat khususnya di zaman pemerintahan Abbassiyah tapi budaya amal kian merosot. Inilah 300 tahun yang diisyaratkan Hadis.


Seratus tahun pertama- (13 Sebelum Hijrah hingga 87 Hijrah)

Zaman Rasulullah (13 S.H - 11 H)

Zaman Khulafa'ur Rasyidin (11 H - 40 H)

Pemerintahan Bani Umayyah hingga Khalifah Al Walid


Seratus tahun kedua- ( 88 H - 187 H)

Pemerintahan Bani Umayyah bermula dari Al Walid

Pemerintahan Bani Abbasiah hingga Khalifah Harun Al Rasyid


Seratus tahun ketiga- ( 188 H - 287 H)

Pemerintahan Bani Abbasiah bermula dari Khalifah Harun Al Rasyid hingga Khalifah Al Mu'tadid (279 H - 289 H)


Selepas 300 tahun ini, tamadun Islam mula malap walaupun baranya tidak padam. Bara api Islam menyala sekali-sekala apabila bangkit pemimpin bertaqwa seperti Salahuddin Al Ayubi dan Muhammad Al Fateh. Namun empayar Islam bertaraf global tidak muncul lagi. Pemerintahan Islam terpecah-pecah kepada kerajaan-kerajaan berasingan seperti kerajaan Islam Sepanyol, Kerajaan Fatimiyah Mesir, Kerajaan Monggol di Asia Tengah dan India, Empayar Timuriah, Emapayar Turki Usmaniyah dan kerajaan-kerajaan Islam Alam Melayu.


Kini kesedaran Islam melanda seluruh dunia. Tanda-tanda akan tertegaknya semula keagungan tamadun Islam mula kelihatan. Ini ditandai oleh pembangunan lahiriah dan rohaniah yang naik seiring.

Selasa, 28 Julai 2009

BAGAIMANA RUNTUHNYA TAMADUN ISLAM


DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI



Runtuhnya tamadun Islam yang dibangunkan asasnya oleh Rasul SAW, para Sahabat, salafussoleh dan pemimpin -pemimpin bertaqwa seperti Muhammad Al Fateh, bukanlah disebabkan faktor luar. Tamadun Islam runtuh apabila umat Islam telah dihinggapi penyakit "al wahan" iaitu cinta dunia dan takut mati.


Lemahnya iman ini pula bermula dari pengabaian dan kerosakan institusi pendidikan Islam secara formal, lebih-lebih lagi yang tidak formal yang turut ditimpa penyakit "al wahan".


Bila hati ketandusan iman, manusia mengejar kemajuan tidak lagi atas dorongan iman tetapi atas dorongan fitrah akal dan nafsu semata-mata. Dengan kata lain,, bukan "line' taqwa yang mereka susuri tetapi line "quwwah" (kekuatan lahir). Oleh kerana itu, Allah tidak bantu usaha-usaha mereka. Akhirnya keruntuhan tamadun rohaniah turut menyebabkan keruntuhan tamadun lahiriah. Sebab itulahnkita liahat kehancuran berlaku pada empayar Islam dihujung-hujung kegemilangannya. Tamadun rohaniah mereka runtuh, akhirnya tamadun lahiriah mereka juga runtuh. Allah berfirman yang bermaksud :


" Dia mendapat kerugian di dunia dan Akhirat; itulah kerugian yang nyata." (Al Haj:11)

Selasa, 21 Julai 2009

SIAPA LAYAK BANGUNKAN TAMADUN ISLAM?

DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI

Tamadun Islam hanya akan tertegak apabila tertegaknya hukum-hukum Allah. Hukum-hukum Allah hanya boleh ditegakkan oleh orang-orang beriman dan bertaqwa. Oleh itu, faktor iman dan taqwa penting ke arah menegakkan tamadun Islam. Dengan erti kata lain, hanya orang yang bertaqwa yang paling layak menegakkan tamadun Islam.

Kemuncak tamadun Islam berlaku di zaman Rasulullah SAW; dibangunkan oleh baginda bresama-sama para Sahabat dengan petunjuk wahyu. Mereka lahir sebagai umat terbaik dan paling bertaqwa. Rasulullah mengesahkan ini dengan sabdanya:

" Sebaik-baik manusia ialah mereka yang dikurunku, dan mereka yang mengiringi kurunku dan mereka yang mengiringi kurun itu."

Zaman Rasulullah SAW dan sekitar 3 kurun selepasnya (zaman salafussoleh) adalah zaman paling agung dalam sejarah peradaban manusia. Di zaman Rasulullah SAW. tamadun rohaniah berada di kemuncaknya. Keagungan itu disambung oleh Kerajaan Bani umayyah dan Bani Abbasiah. namun sewaktu tertegaknya kedua-dua kerajaan itu, tamadun rohaniah mula mengalami kemerosotan walaupun tamadun lahiriah terus melonjak tinggi dan sampai ke kemuncaknya.

Persoalan ini mungkin timbul: Kenapa tamadun lahiriah tidak menonjol di zaman Rasulullah SAW? Tidak ada bangunan-bangunan indah dan gagah dibangunkan. Tidak ada projek-projek infrastuktur yang canggih. Tidak lahir pusat pengajian tinggi yang mengajar pelbagai bidang ilmu.

Hali ini berlaku kerana tamadun lahiriah berkembang mengikut keperluan. Di zaman Rasulullah SAW, masjid dibangunkan seadanya dan mencukupi untuk menampung bilangan umat Islam yang belum begitu ramai. Masjid juga menjadi pusat ilmu kerana di situlah Rasulullah SAW sering menyampaikan wahyu yang diterimanya dan mendidik umat. Tidak ada universiti bukan bererti ilmu tidak tinggi. Tetapi pada ketika itu, ilmu lebih bersifat amali; ia menjadi pakaian peribadi, belum terhurai dalam bentuk tulisan di dalam kitab-kitab. Rasulullah SAW menjadi "Al Quran hidup" dan para Sahabat menjadi "Universiti bergerak" yang dapat ditimba ilmunya oleh orang-orang yang bergaul dan melihat keperibadiannya.

Di zaman Rasulullah SAW juga, ilmu belum berkembang kepada banyak bidang dan cabangnya. Ilmu teras lebih menonjol daripada ilmu alat kerana begitu mudahnya melihat "praktikal" itu dalam kehidupan sehari-hari. Para Sahabat mendapat didikan langsung daripada Rasul SAW sebagai mahaguru. Apa yang diperolehi dari Rasulullah terus diamalkan dan disevarkan dari mulut ke mulut. Secara itulah Islam berkembang waktu itu. Dan secara itulah Rasul SAW mendidik umat Arab jahiliah dan membawa mereka keluar dari kejahilan hingga muncul sebagai umat terbaik.

Selepas zaman Rasul SAW dan para Sahabat, tamadun rohaniah mula menuju kemunduran. Terutama selepas zaman salafussoleh. Semakin jauh dari Rasulullah, kekuatan taqwa umat semakin menurun. Walaupun tertegaknya tamadun Islam atas dorongan iman, namun tamadun lahiriah lebih tertonjol daripada tamadun rohaniah.

Tamadun rohaniah menuju kehancuran menjelang kejatuhan Baghdad di tangan bangsa Monggol pada tahun 1258M. Namun ia tidak terus pupus. Ia umpama bara api yang menyala-nyala sekali-sekala bila dihembus angin. Begitulah dengan tamadun Islam, sekali-sekala ia bangun semula dalam sifat yang tidak global iaitu bilamana lahir pemimpin yang bertaqwa seperti Salahuddin Al Ayubi dan Muhammad Al Fateh.

Rabu, 15 Julai 2009

SALAH ANGGAP TENTANG TAMADUN ISLAM


DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI


Adalah salah anggapan yang mengatakan bahawa tamadun Islam itu adalah pada keluasan empayar, walaupun Islam pernah membentuk empayar yang menguasai tiga suku dunia. Tamadun Islam juga bukan pada bangunan-bangunan yang cantik, tinggi dan gagah, walaupun umat Islam pernah membangunkan bangunan-bangunan seumpama itu, yang sesetengahnya masih berdiri megah hingga ke hari ini. Tamadun Islam juga bukan pada kekayaan dan harta benda, walaupun Islam pernah membentuk kerajaan yang kukuh kedudukan ekonominya dan memiliki harta kekayaan yang melimpah ruah. Tamadun Islam juga bukan pada ilmu yang tinggi, walaupun perkembangan ilmu yang dicetuskan oleh umat Islam dahulu pernah mencapai tahap yang tinggi sati ketika dahulu.
Semua itu, meskipun boleh dianggap sebagai kemajuan lahiriah dan hasil usaha umat Islam, namun ia bukanlah bukti ketinggian dan keagungan tamadun Islam. malah sesetngah daripada tamadun lahiriah peninggalan umat Islam silam mempunyai unsur-unsur pembaziran, penzaliman dan lambang kemewahan. Ini termasuk pedang-pedang brtatahkan berlian yang melambangkan kekerasan dan kemewahan; mahkota bertatahkan brelian, pinggan mangkuk, piala-piala dan singgahsana daripada emas yang melambangkan kemewahan dan pembaziran; istana yang tersergam indah di tempat yang terpisah dari kediaman rakyat yang melambangkan sikap bremewah-mewah di kalangan raja-raja di zaman kemerosotan Islam seperti istana Taj Mahal di India. Sebab itu ciri-ciri seumpama inilah tertonjol di zaman keruntuhan empayar Islam.

ERTI SEBENAR TAMADUN ISLAM



DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI



Tamadun adalah istilah Arab. Ia diambil dari kata dasar "tamadan" yang bermaksud "Berkelakuan dengan akhlak yang halus" menurut Kamus Muhjiduth Thullab.

Mengikut pengertian biasa, tamadun hanya dimaksudkan kepada pembangunan atau kemajuan berbentuk fizikal atau lahiriah. Ini termasuk peralatan canggih, bangunan-bangunan tinggi, kemudahan infrastuktur serba lengkap dan seumpamanya.

Bagaimanapun, Islam melihatnya dari aspek rohaniah dan lahiriah sekaligus. Di antara ketiga-tiganya, yang dipentingkan oleh Islam ialah aspek rohaniah. Kerana ia berkait langsung dengan diri manusia itu sendiri. Ini merangkumi sifat-sifat hati yang baik (mahmudah) seperti penyabar, redha, berlapang dada, pemaaf, pemurah,penyayang, merendah diri, berani dan sebagainya.










Jumaat, 10 Julai 2009

MEMBANGUN SEMULA TAMADUN ISLAM




Iman Asas Tamadun Islam


Tamadun Islam bermula dari dorongan iman. Dengan ertikata lain, iman adalah asas kepada tertegaknya tamadun Islam. Dari situlah terbinanya rohaniah umat Islam. Dengan imanlah manusia mampu menegakkan syariat, berakhlak baik dan membina sifat taqwa. Inilah yang ditekankan oleh Rasulullah SAW dalam perjuangan di peringkat Makkiah.


Iman ditanam dan disuburkan dengan tiga perkara:-

1. Cinta kepada Allah

2. Rindu kepada Akhirat

3. Berkasih sayang sesama manusia


Dengan 3 perkara ini, hati sebagai "raja" dalam kerajaan diri dapat menguasai akal dan tidak akan tunduk lagi kepada pujukan hawa nafsu. Sebaliknya, akal akan menjadi penasihat yang baik dan nafsu menjadi alat yang bertenaga dan tunduk kepada hati sehingga mendorong anggota lahir melaksanakan perintah-perintah Allah.


Hakikat diri manusia adalah rohaniahnya. Apabila hati telah terdidik dengan iman yang kental, rohaniah telah terbangun dengan sempurna, maka sempurnalah manusia itu. Akal dan nafsu akan terpimpin. Kehidupan menjadi indah kerana tidak dipengaruhi oleh rangsangan-rangsangan nafsu yang liar dan nasihat-nasihat akal yang tidak berpedoman.


Di atas iman yang kukuh inilah dibangunkan Islam. Ditegakkan kalimah Allah iaitu hukum hakam yang 5 iaitu:-


1. Wajib

2. Sunat

3. Harus

4. Haram

5. Makruh


Yang wajib dilaksanakan bersungguh-sungguh, yang sunat diamalkan semampu mungkin, yang harus cuba dijadikan ibadah, yang haram dijauhkan sungguh-sungguh danyang makruh seboleh mungkin cuba dihindari.


Apabila Islam tertegak daam diri dan masyarakat, dengan sendirinya tercetus kemajuan lahir. Kerana Islam itu tabiatnya berkemajuan. Seperti api, tabiatnya membakar. Tidak ada orang yang memikirkan bagaimana untuk membuatkan api membakar kerana api itu automatik membakar. Begitu juga Islam; tidak perlu disebut-sebut tentang kemajuan, sebab apabila Islam diamalkan dan hukum hakam Allah ditegakkan sepenuhnya, automatik akan menghasilkan kemajuan. Ini boleh dicontohkan seperti berikut:


a) Islam mewajibkan perintah sembahyang


- Untuk menyembah Allah, perlu pada rumah ibadah. maka untuk memenuhi tuntutan mengerjakan sembahyang itu, umat Islam membangunkan masjid. Bila jumlah yang bersembahyang bertambah ramai, msjid-msajid yang besar diperlukan untuk menampungnya. Dengan itu, trebinalah msjid-masjid yang gagah dan besar.


b) Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu


- Sama ada ilmu dunia, lebih-lebih lagi ilmu Akhirat. Ilmu-ilmu yang digali dari Al Quran dikembangkan kepada pelbagai bidang ilmu khususnya ilmu tauhid, feqah dan tasawuf yang merupakan ilmu teras. Al Quran juga mengandungi berbagai ilmu lain termasuk ilmu sains, astronomi dan sejarah. Bila budaya ilmu kian brkembang, sekolah dan pusat-pusat pengajian dibina dengan rekabentuk pelbagai. Hasilnya, tretegaklah bangunan-bangunan madrasah yang indah dan tinggi, sesuai dengan ketinggian ilmu.


c) Sifat orang beriman itu sentiasa mahu menyampaikan ajaran Islam walau di mana.


- Mereka ingin melihat bumi Allah ini makmur dengan nikmat iman dan meriah dengan pengamalan Islam. Untuk itu, mereka sanggup bermusafir beribu-ribu batu semata-mata kerana mahu menyampaikan ajaran Islam yang telah mereka rasai keindahannya. Dari situ tanpa dirancang, mereka membina tapak untuk menjadi penguasa bumi. Firman Allah yang bermaksud:


"Sesungguhnya bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh." (Al Anbia:105)


Hasilnya, tertegaklah empayar yang meliputi daerah yang luas. Bukan atas dorongan untuk menjajah, tetapi semata-mata untuk menyampaikan kalimah Allah.


d) Islam mewajibkan zakat dan membelanja harta kekayaan secara halal.


- Dari situ terbina prebendaharaan.Wang dan harta prebendaharaan pula digunakan untuk membangunkan projek-projek kepentingan masyarakat. Orang-orang kaya menjadi "bank" tidak rsami. Dari situ negara menjadi makmur dan dapat membangunkan pelbagai kemudahan dan infrastruktur untuk kemudahan rakyat.


Demikian beberapa contoh bahawa apabila Islam ditegakkan dan hukum Allah dijadikan matlamat, kemajuan lahiriah akan terbangun dengan sendirinya. Ini bermakna, perkara-perkara lahiriah itu adalah alat untuk menegakkan Islam. Mereka dapat menjalankan peranan sebagai khalifah Allah dengan sebaik-baiknya, dan sekaligus dipandang hebat dengan tamadun yang berjaya dibangunkannya.


Rasulullah SAW brsabda yang brmaksud: " Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih mengatasi tingginya." ( Riwayat Al Baihaqi)


Kepakaran dan ilmu digabungkan dengan iman dan taqwa, maka lahirlah umat yang kreatif, produktif, berdaya maju, adil, jujur dan amanah. Manusia akan berbakti kepada Allah, sekaligus berkhidmat kepada manusia. Pemerintah dan rakyat berganding bahu melahirkan preadaban yang tinggi.