Jumaat, 31 Julai 2009

TANGGUNGJAWAB SETIAP PEMIMPIN UMAT ISLAM DI SETIAP GOLONGAN

DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI

Apabila kita mengatakan pemimpin umat Islam, terbayang oleh kita bahawa mereka terbahagi menjadi berbagai peringkat dan pemimpin di berbagai jurusan dan bidang. Di kalangan mereka ada yang menjadi pemimpin empayar, pemimpin negara, pemimpin daerah, pemimpin kampung, pemimpin tentera, pemimpin politik, pemimpin dakwah, pemimpin budaya dan kesenian, pemimpin pendidikan, pemimpin ekonomi, pemimpin pemuda, pemimpin rumahtangga dan lain-lain.

Ertinya pemimpin di kalangan umat Islam itu, ada pemimpin besar dan ada pemimpin kecil, ada pemimpin khusus dan pemimpin umum. Ada pemimpin terbatas, di mana selain dia memimpin, dia juga dipimpin. Yang dikategorikan dalam pemimpin umum adalah pemimpin empayar, pemimpin negara, sedangkan pemimpin khusus seperti pemimpin pendidikan, pemimpin tentera , pemimpin rumahtangga dan lain-lain.

Di bawah kepimpinan dan tanggungjawab pemimpin umum ada bermacam-macam golongan, peringkat dan profesyen. Sedangkan di bawah tanggungjawab dan kepimpinan pemimpin khusus hanya satu golongan sahaja kerana golongan itu hanya memperjuangkan satu bidang sahaja. Mungkin ruang lingkupnya seperti ketenteraan. Sudah tentu melibatkan seluruh negara atau empayar tetapi terbatas dalam bidang ketenteraan sahaja.

Sedangkan bagi pemimpin umum, walaupun di bawah kepimpinannya pelbagai lapisan masyarakat, pelbagai profesyen, pelbagai bidang dan aspek yang hendak difikirkan.

Setelah kita mengetahui bahawa pemimpin dan kepimpinan di dalam Islam itu ada pelbagai peringkat, ada yang besar, ada yang kecil, ada yang umum dan ada yang khusus, di sini kita akan membahas apa tanggungjawab setiap pemimpin itu.

Di dalam tulisan ini, tidak akan dibahaskan tanggungjwab pemimpin Islam secara luas dan menyeluruh, kerana akan menjadi terlalu panjang. Di sini hanya akan dibahas, di peringkat mana pun pemimpin itu memimpin, ada 2 perkara yang wajib dipertanggungjawabkan oleh pemimpin Islam kepada rakyat atau pengikutnya iaitu tanggungjawab terhadap agama dan akhlak rakyat atau pengikutnya.

Setiap pemimpin di Akhirat kelak akan ditanya oleh Allah SWT tentang setiap orang di bawah pimpinannya. Di dalam ajaran Islam, masalah agama terutama di bidang fardhu ain harus diketahui, dihayati dan diamalkan oleh setiap mukallaf. Oleh itu siapa sahaja yang menjadi pemimpin, dia juga bertanggungjawab memastikan tentang agama dan akhlak utuk kelamatan bersama dunia dan Akhirat.

Tidak seperti di bidang fardhu kifayah, seperti ketenteraan, ekonomi dan pertanian, di mana jika sudah ada satu golongan yang berkecimpung di bidang itu dan mencukupi untuk keperluan agama, maka sudah memadai. Orang lain yang tidak mengambil bahagian di bidang itu terlepas dari dosa. Sedangkan mengetahui halal dan haram serta akhlak yang mulia, iaitu memiliki sifat mahmudah, seperti adil, jujur, tawadhuk, pemurah, kasih sayang, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, lapang dada, pemaaf, meminta maaf dan amanah, diwajibkan bagi setiap orang, baik pemimpin, mahu pun bukan pemimpin.

Setiap pemimpin tidak boleh hanya bertanggungjawab pada nidangnya sahaja, seperti pemimpin tentera maka tanggungjawabnya hanya pada ketenteraan saja, sedangkan soal agama dan akhlak adalah tanggungjawab ulama, ustaz, pendakwah atau pemimpin dakwah. Allah dan Rasul tidak mengkehendaki demikian.

Di akhir zaman ini, disitulah kelemahan umat Islam, di mana pemimpin itu hanya bertanggungjawab di bidangnya sahaja. Terhadap agama dan akhlak banyak di klaangn mereka memandang ringan. Itulah rahsianya mengapa setiap golongan susah disatukan antara satu sama lain. Hati berjauhan walaupun tidak bertengkar, kerana tali pengikat di kalangan umat Islam, yakni agama dan akhlak mereka sudah diputuskan. Kalau pun ada, sudah hampir putus.

Padahal yang dikehendaki Islam, setiap orang, apa pun pekerjaannya, terhadap agama dan akhlak mesti sama kerana itu adalah keperluan bersama. Kalau setiap pemimpin memerhatikan
didikan agama dan akhlak terhadap tanggungan mereka dan mendidik mereka ke arah itu, maka akan lahirlah pekerja, rakyat, pengikut golongan yang taat kepada Allah, berdisiplin dan berakhlak mulia.

Dengan cara itu akan dapat dilihat bahawa semua golongan umat Islam dari segi peribadi dan individunya sama, selaras bersatu. Dapat melahirkan syiar dan akhlak mulia yang sama, walaupun mereka pakar di dalam bidang dan profesyen yang berbeza.

Apakah ada umat islam yang berfikir bahawa ketaatan beragama, berdisiplin dan mempunyai akhlak mulia itu hanya diperlukan oleh guru-guru agama, para ustaz, alim ulama sedangkan yang lain tidak perlu? Apakah sifat jujur, pemurah, kasih sayang, amanah dan lain-lain sifat mahmudah hanya untuk ahli agama. Golongan lain tidak perlu?

Apakah ada di kalangan umat Islam berfikir jika taat kepada agama dan berakhlak mulia akan merugikan umat Islam dan manusia seluruhnya? Apakah dengan beragama dan berakhlak mulia akan membawa kemunduran dan kegagalan?

Sebenarnya kepatuhan pada agama itulah menjadikan umat Islam berdisiplin. Akan memperindah dan memperbaiki bidang dan profesyen setiap golongan. Di situlah kemuliaan dan kehormatan umat Islam. kalau ada sifat ini, bukan sahaja Allah dan Rasul suka, tetapi akan dihormati oleh seluruh umat manusia termasuk yang bukan Islam kerana akhlak mulia itu bersifat global. Semua manusa boleh menerima, suka dan senang.

Umat Islam di zaman salafussoleh memepunyai kepakaran dan kepandaian yang erlainan di dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Ada pakar tafsir, pakar hadis, pakar fiqh, pakar sejarah, pakar akidah, pakar falsafah, pakar perubatan, pakar sains, pakar ekonomi, pakar perang tetapi dari segi agama iaitu ketaatan kepada Allah dan Rasul, disiplin hidup serta akhlak mulia mereka sama-sama terlihat nyata, sama-sama hebat dan sama-sama kuat. Syiar Islam sangat menonjol dan dapat dilihat di dalam semua keperluan.

Sedangkan mereka di bidang fardhu kifayah mereka mempunyai kepakaran yang tersendiri, mempunyai bidang yang berlainan. Mengapa terjadi demikian? Kerana didikan agama dan akhlak kepada semua golongan itu adalah sama. Sama-sama dititikberatkan. Faktor penting di dalam kejayaan mereka ini adalah wujudnya faktor pemimpin yang berjaya memimpin mereka berteraskan cintakan Tuhan dan Akhirat. Dan dengan itu, mereka menjadi mulia dan menjadi masyarakat yang agung sepanjang kehidupan manusia.