Selasa, 21 Julai 2009

SIAPA LAYAK BANGUNKAN TAMADUN ISLAM?

DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI

Tamadun Islam hanya akan tertegak apabila tertegaknya hukum-hukum Allah. Hukum-hukum Allah hanya boleh ditegakkan oleh orang-orang beriman dan bertaqwa. Oleh itu, faktor iman dan taqwa penting ke arah menegakkan tamadun Islam. Dengan erti kata lain, hanya orang yang bertaqwa yang paling layak menegakkan tamadun Islam.

Kemuncak tamadun Islam berlaku di zaman Rasulullah SAW; dibangunkan oleh baginda bresama-sama para Sahabat dengan petunjuk wahyu. Mereka lahir sebagai umat terbaik dan paling bertaqwa. Rasulullah mengesahkan ini dengan sabdanya:

" Sebaik-baik manusia ialah mereka yang dikurunku, dan mereka yang mengiringi kurunku dan mereka yang mengiringi kurun itu."

Zaman Rasulullah SAW dan sekitar 3 kurun selepasnya (zaman salafussoleh) adalah zaman paling agung dalam sejarah peradaban manusia. Di zaman Rasulullah SAW. tamadun rohaniah berada di kemuncaknya. Keagungan itu disambung oleh Kerajaan Bani umayyah dan Bani Abbasiah. namun sewaktu tertegaknya kedua-dua kerajaan itu, tamadun rohaniah mula mengalami kemerosotan walaupun tamadun lahiriah terus melonjak tinggi dan sampai ke kemuncaknya.

Persoalan ini mungkin timbul: Kenapa tamadun lahiriah tidak menonjol di zaman Rasulullah SAW? Tidak ada bangunan-bangunan indah dan gagah dibangunkan. Tidak ada projek-projek infrastuktur yang canggih. Tidak lahir pusat pengajian tinggi yang mengajar pelbagai bidang ilmu.

Hali ini berlaku kerana tamadun lahiriah berkembang mengikut keperluan. Di zaman Rasulullah SAW, masjid dibangunkan seadanya dan mencukupi untuk menampung bilangan umat Islam yang belum begitu ramai. Masjid juga menjadi pusat ilmu kerana di situlah Rasulullah SAW sering menyampaikan wahyu yang diterimanya dan mendidik umat. Tidak ada universiti bukan bererti ilmu tidak tinggi. Tetapi pada ketika itu, ilmu lebih bersifat amali; ia menjadi pakaian peribadi, belum terhurai dalam bentuk tulisan di dalam kitab-kitab. Rasulullah SAW menjadi "Al Quran hidup" dan para Sahabat menjadi "Universiti bergerak" yang dapat ditimba ilmunya oleh orang-orang yang bergaul dan melihat keperibadiannya.

Di zaman Rasulullah SAW juga, ilmu belum berkembang kepada banyak bidang dan cabangnya. Ilmu teras lebih menonjol daripada ilmu alat kerana begitu mudahnya melihat "praktikal" itu dalam kehidupan sehari-hari. Para Sahabat mendapat didikan langsung daripada Rasul SAW sebagai mahaguru. Apa yang diperolehi dari Rasulullah terus diamalkan dan disevarkan dari mulut ke mulut. Secara itulah Islam berkembang waktu itu. Dan secara itulah Rasul SAW mendidik umat Arab jahiliah dan membawa mereka keluar dari kejahilan hingga muncul sebagai umat terbaik.

Selepas zaman Rasul SAW dan para Sahabat, tamadun rohaniah mula menuju kemunduran. Terutama selepas zaman salafussoleh. Semakin jauh dari Rasulullah, kekuatan taqwa umat semakin menurun. Walaupun tertegaknya tamadun Islam atas dorongan iman, namun tamadun lahiriah lebih tertonjol daripada tamadun rohaniah.

Tamadun rohaniah menuju kehancuran menjelang kejatuhan Baghdad di tangan bangsa Monggol pada tahun 1258M. Namun ia tidak terus pupus. Ia umpama bara api yang menyala-nyala sekali-sekala bila dihembus angin. Begitulah dengan tamadun Islam, sekali-sekala ia bangun semula dalam sifat yang tidak global iaitu bilamana lahir pemimpin yang bertaqwa seperti Salahuddin Al Ayubi dan Muhammad Al Fateh.