Khamis, 30 Julai 2009

300 TAHUN YANG ISTIMEWA


DENGAN NAMA ALLAH, MAHA PEMURAH, MAHA MENGASIHANI




Tiga ratus tahun ini dalah kurun-kurun yang istimewa. Bermula dari kerasulan Rasulullah SAW dan sekitar 300 tahun dari baginda, muncul umat yang diisyaratkan oleh Hadis sebagai umat terbaik dalam sejarah peradaban manusia. Sabda baginda:


" Sebaik-baik manusia ialah yang dikurunku, dan mereka yang mengiringi (kurunku), dan mereka yang mengiringi (kurun itu)." Hadis riwayat Ahmad, Al Bukhari, Muslim dan At Tarmizi.


Walaupun selepas zaman khulafa'ur Rasyidin, sesetengah khalifah yang naik silih ganti telah agak rosak keperibadiannya, namun umat Islam dalam kurun-kurun istimewa ini majoritinya soleh dan bertaqwa.


Menjelang ke penghujung era 300 tahun ini, ketaqwaan umat mula menurun. Petandanya ialah tamadun rohaniah yang dibangunkan oleh Rasul SAW dan disambung oleh Khulafa'ur Rasyidin semakin menurun. Budaya ilmu kian pesat khususnya di zaman pemerintahan Abbassiyah tapi budaya amal kian merosot. Inilah 300 tahun yang diisyaratkan Hadis.


Seratus tahun pertama- (13 Sebelum Hijrah hingga 87 Hijrah)

Zaman Rasulullah (13 S.H - 11 H)

Zaman Khulafa'ur Rasyidin (11 H - 40 H)

Pemerintahan Bani Umayyah hingga Khalifah Al Walid


Seratus tahun kedua- ( 88 H - 187 H)

Pemerintahan Bani Umayyah bermula dari Al Walid

Pemerintahan Bani Abbasiah hingga Khalifah Harun Al Rasyid


Seratus tahun ketiga- ( 188 H - 287 H)

Pemerintahan Bani Abbasiah bermula dari Khalifah Harun Al Rasyid hingga Khalifah Al Mu'tadid (279 H - 289 H)


Selepas 300 tahun ini, tamadun Islam mula malap walaupun baranya tidak padam. Bara api Islam menyala sekali-sekala apabila bangkit pemimpin bertaqwa seperti Salahuddin Al Ayubi dan Muhammad Al Fateh. Namun empayar Islam bertaraf global tidak muncul lagi. Pemerintahan Islam terpecah-pecah kepada kerajaan-kerajaan berasingan seperti kerajaan Islam Sepanyol, Kerajaan Fatimiyah Mesir, Kerajaan Monggol di Asia Tengah dan India, Empayar Timuriah, Emapayar Turki Usmaniyah dan kerajaan-kerajaan Islam Alam Melayu.


Kini kesedaran Islam melanda seluruh dunia. Tanda-tanda akan tertegaknya semula keagungan tamadun Islam mula kelihatan. Ini ditandai oleh pembangunan lahiriah dan rohaniah yang naik seiring.